Saturday, July 19, 2008

Undi Tidak Percaya Tidak Penting

Walaupun PM Malaysia tidak pernah menghadapi undi tidak percaya secara rasmi di parlimen atau dalam mesyuarat MT parti, adalah amat jelas bahawa beliau sebenarnya sentiasa mendapat tentangan dari dalam dan luar parti serta dari dalam dan luar kerajaan secara berterusan. Tentangan datang dalam berbagai wajah dan bentuk secara bertimpa-timpa. Desakan supaya beliau meletakkan jawatan daripada pelbagai pihak adalah merupakan salah satu bentuk undi tidak percaya. Pilihanraya 8 Mac, 2008 menjadi tarikh keramat di mana setiap ahli UMNO menjadi pandai bersuara dan merasakan wajar menyatakan perasaan dan pendapat masing-masing tanpa berselindung mengenai presiden parti mereka yang juga PM Malaysia.

Sebahagian daripada mereka yang lebih bertimbang rasa melabelkan ini sebagai keterbukaan PM, kerana bersedia mendengar dan dikritik. Mereka juga memuji-muji PM di atas kesediaan sebegini. Malangnya majoriti rakyat Malaysia tidak melihatnya begitu. Mereka melihatnya sebagai kebangkitan yang mahukan presiden parti, merangkap PM itu, supaya berundur. Malangnya, mesej ini seolah-olah “fell on deaf ears” sepatah kata orang putih.

Bukan itu sahaja, bekas PM yang menjadi PM selama 22 tahun sebelim ini, telah bertindak keluar parti dan rajin menulis serta berucap atau berceramah secara terbuka menghentam PM penggantinya itu agar meletakkan jawatan. MP Jerlun yang juga anak kepada bekas PM membuat gesaan yang serupa. MP Gua Musang membawa pendekatan yang lebih demokratik dengan menyatakan hasrat untuk mencabar PM dalam mesyuarat agung selain menyatakan bahawa plan peralihan kuasa PM kepada TPM yang telah diumumkan itu sebagai bercanggah dengan perlembagaan parti. Justeru beliau menganggapkan peralihan kuasa itu sejajar dengan amalan raja yang menurunkan takhta kepada anakanda baginda. Namun begitu PM masih berdegil dan tidak mahu berundur sebelum Jun, 2010; tarikh peralihan kuasa yang dipersetujui antara beliau dengan TPM

Soalnya sekarang, bagaimana jika TPM dicalonkan untuk jawatan presiden parti dalam pemilihan Disember ini?. PM akan malu besar kerana ditewaskan oleh timbalannya sendiri. Ini tidak mustahil berlaku kerana rata-rata ahli UMNO mahukan ini berlaku. Mereka yang kuat menyokong PM secara terbuka sekarang hanyalah menteri-menteri kabinet beliau sahaja.

Selain itu PM perlu ingat bahawa jawatan PM adalah menjadi hak mutlak Yang Dipertuan Agung melantiknya. Peristiwa pelantikan MB Terengganu dan Perlis sepatutnya menjadi iktibar.

Harapan BN dalam pilihanraya 13 umpama telur di hujung tanduk. Ini kerana UMNO menghadapi kepupusan sokongan kaum Cina dan India yang sedang menghadapi kekalutan dalaman dalam MCA dan MIC. Selain itu kegagalan dan kepayahan memenuhi tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak akan menyebabkan sokongan rakyat Sabah dan Sarawak berpindah kepada pembangkang. Kerakusan tindakan menghalau rakyat Filipina akan menyebabkan rakyat Sabah sendiri yang tidak berkad pengenalan berkemungkinan menjadi mangsa. Ini akan menaikkan kemarahan saudara mara yang kehilangan waris yang dihalau kerana kesilapan tidak mempunyai kad pengenalan. Undi untuk BN akan berkurangan di Sabah atas sebab-sebab sebegini.

Siapapun menjadi PM sebelum pilihanraya 13, pembangkang akan tetap mengambilalih pemerintahan Malaysia. Sekiranya DSAI ditakdirkan terkurung semula di penjara, pembangkang tidak menghadapi masalah bersetuju dengan pelantikan isteri DSAI, Dato Seri Wan Azizah, kerana beliau telah muncul sebagai seorang yang kental dan berjiwa juang yang dikagumi sekarang ini.

BN akan menerima nasib malang dalam pilihanraya 13 kerana tabiat sombong dan cakap besar menteri-menterinya menjadikan rakyat semakin mual setiap hari. Mereka bukan sahaja gagal mengatasi beban kenaikan harga barang , malah manambahnya dengan pelbagai masalah baru. Bila rakyat beralih daripada penggunaan kereta kepada penggunaan motosikal, mereka menjadi seronok dan bangga, sedangkan menderita dan rintihan rakyat miskin itu gagal diselami.

Sebahagian besar rakyat bukan ahli mana-mana parti politik. Mereka hanya menunggu pilihanraya 13 untuk menunjukkan kuasa. AWAS!

No comments: